Sunday 30 October 2016

TUMPAH DARAH SELEPAS CAESAREAN

Tumpah darah merupakan salah satu komplikasi yang biasa terjadi semsa proses kelahiran sama ada kelahiran normal atau caesarean. Caesarean dikenal pasti boleh menyebabkan pendarahan yang lebih banyak dari bersalin normal dengan anggaran maksima 1 liter manakala bersalin normal ialah 500ml. Seorang wanita dikatakan mengalami tumpah darah sekiranya pendarahan melebihi isipadu ini bagi kedua-dua kaedah kelahiran.

Pendarahan semasa proses kelahiran menerusi pembedahan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lazimnya bagi wanita hamil, darah akan dihasilkan 50%  lebih banyak daripada biasa. Justeru, pendarahan yang normal terjadi semasa pemisahan uri dan dinding Rahim atau episiotomi ialah sesuatu yang dijangkakan.

Bagi mempersiapkan diri menghadapi kelahiran, ibu-ibu perlu memahami faktor yang meningkatkan risiko terjadinya pendarahan berlebihan atau tumpah darah. Lebih-lebih lagi bagi kelahiran secara pembedahan caesarean. Terdapat beberapa keadaan yang boleh meningkatkan risiko terjadinya pendarahan selepas kelahiran.
  1.  Uri bawah (placenta previa) yang hanya akan disahkan apabila kandungan 7 bulan ke atas. Keadaan ini terbahagi kepada 4 tahap. Hal ini boleh berlaku sekiranya ibu-ibu yang mempunyai parut pada dinding rahim akibat pembedahan terdahulu sama ada pembedahan caesarean kelahiran terdahulu dn atau pembedahan fibroid , pernah melakukan D&C, kehamilan hasil kaedah IUI atau IVF, ibu mempunyai sejarah uri bawah pada kehamilan sebelum ini atau sejarah infeksi/radang pada rahim (endometrisis).
  2. Uri lekang (placenta abruptio) di mana ia lekang dari dinding rahim sama ada sebahagian atau sepenuhnya lebih awal. Ia sering terjadi pada ibu yang mempunyai tekanan darah tinggi semasa hamil, pra-eklampsia, mengalami trauma pada perut, sejarah uri lekang, air ketuban kurang atau pecah awal.
  3. Uri melekat (placenta accrete/ increta/ percreta) berlaku apabila terjadi lekatan akar uri ke dalam otot rahim hingga ada kalanya sehingga ke dinding pundi kencing menyebabkan ia tidak boleh dikeluarkan secara normal selepas bersalin.
  4. Ibu yang mempunyai tahap HB yang rendah mempunyai risiko pendarahan kerana rahim tidak kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.
  5. Ibu yang bersalin anak kelima dan ke atas kerana otot rahim kurang kenyal dan kuat dan kurang upaya untuk mengecut dengan cepat.
  6. Pengembangan rahim yang lebih daripada normal semasa hamil sama ada disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak, atau bayi terlalu besar (4kg  ke atas).
  7. Ibu menghidapi hemofilia atau trombofilia yang menyebabkan kegagalan darah membeku atau berhenti.
  8.  Rahim merekah (uterine rupture) semasa proses bersalin bagi ibu yang melahirkan anak kelima dan ke atas, pernah melalui caesarean, jarak caesarean kurang daripada 18 bulan atau bayi tidak memasuki pelvis ibu semasa bersalin (obstructed labour).
  9.  Prolonged labour di mana proses kelahiran berlangsung lebih daripada 12 jam (kecuali anak pertama). Ia disebabkan oleh kedudukan bayi yang tidak normal seperti occipo-tranversel occipo-posterior dan kes bersalin secara paksa (induce). Keadaan ini juga boleh menyebabkan rahim tidak mengecut atau uterine atony selepas bersalin.



RAWATAN BAGI IBU TUMPAH DARAH SEMASA BERSALIN

Bagi setiap kelahiran, rahim akan segera mengecut selepas bayi dan uri dikeluarkan. Pengecutan yang kuat ini bertindak menutup salur darah yang terbuka di mana uri bersambung. Namun bagi ibu yang mengalami tumpah darah, salur darah yang terbuka tidak tertutup kerana rahim tidak mengecut.
Bagi keadaan rahim yang tidak mengecut sejurus selepas kelahiran (uterine atony) doctor akan mengambil langkah untuk mempercepatkan proses rahim kembali kepada asal dan menghentikan pendarahan dengan beberapa langkah :
  1.  Mengurut bahagian atas rahim
  2.  Memberikan suntikan Pitocin
  3. Menyusukan bayi secepat mungkin
  4. Bagi kes pendarahan yang teruk, pembedahan dilakukan secepat mungkin. Rahim akan diikat supaya ia mengecut lebih cepat.
  5.  Jika usaha ini tidak berjaya menghentikan pendarahan yang boleh mengancam nyawa ibu, pembedahan untuk membuang rahim (hysterectomy) terpaksa dilakukan.
  6. Persediaan bagi menghadapi komplikasi kesihatan sepanjang kehamilan dan mempunyai risiko tinggi untuk mengalami tumpah darah, mereka perlu sentiasa berwaspada. Ambil langkah awal untuk menghadapi proses kelahiran dengan persediaan daripada segi mental dan fizikal.
  7. Mendapatkan rawatan, pemeriksaan dan pemantauan daripada perbidanan dan sakit puan.
  8.  Memastikan paras haemoglobin adalah pada tahap optimum atau sekurang-kurangnya 11g/dl
  9. Bersalin di hospital yang mempunyai kelengkapan dewan bedah yang lengkap dan bank darah.

Salam sayang,
Pn. Faezah Zulkifli

SID 1235368

No comments:

Post a Comment